DI SAAT KAU MENDUAKAN AKU by Rafina Abdullah
Synopsis
Mardiana terkejut dengan kemunculan Rozi dalam keadaan menangis. Kawan baiknya itu memberitahu dirinya telah dimadukan. Dia tidak menyangka hal itu boleh berlaku kepada kawan baiknya sendiri. Lebih-lebih lagi dia turut mengenali suami Rozi. Lelaki itu adalah kawan baik suaminya. Mereka berempat pernah belajar di tempat yang sama.
“Sampai hari ni aku masih tak percaya Hazri sanggup menduakan aku.”
“Aku pun tak percaya. Tengok dari cara dia layan kau dengan baik, tak sangka pulak dia boleh jatuh cinta dengan perempuan lain. Siap kahwin pulak tu.”
“Aku geram sangat. Aku amuk satu rumah.”
“Ya Allah, Rozi!”
“Dah tu, kau nak aku buat apa? Buat majlis kesyukuran sebab Hazri nikah satu lagi?”
Untuk meredakan perasaan Rozi, dia cuba memberi nasihat yang baik-baik, namun tidak dihiraukan. Malah, dia pula yang dipersalahkan kerana dianggap cuba menyebelahi Hazri.
“Kau tunggulah bila Syazwan menduakan kau pula. Masa tu barulah kau tahu macam mana perasaan aku.”
Memang benar apa yang pernah diucapkan oleh Rozi, akhirnya… dia juga bakal dimadukan apabila Syazwan menyatakan hasrat mahu berkahwin lagi. Wanita itu pula adalah bekas kekasih suaminya. Syazwan mengakui cintanya berputik kembali ketika menghadiri satu majlis reunion. Namun, dia tidak melatah. Bahkan, dia sengaja mencipta satu rancangan untuk menyusahkan bakal isteri kedua Syazwan bagi mematahkan niat suaminya itu.
Pening kepala Minah apabila Mardiana muncul di rumahnya dengan membawa anak-anak untuk dia jaga. Kesabaran Minah hilang apabila anak-anak Mardiana membuat onar di rumah. Si sulung dan anak kedua bermain bola besbol di ruang tamu sehingga merosakkan barang-barang dan si bongsu pula berak di atas karpet dan mencalit najis di atas sofa.
“Kenapa Mar tinggalkan anak-anak kita kat rumah Emy?”
“Emy? Ermmm… maksud abang, Minah Binti Botak ke?”
“Urm. Ya.”
“Alah, Mar mintak tolong jaga sekejap aje. Mar ada hal penting sangat tadi dengan Rozi. Tak boleh nak elak. Lagipun, abang kan pergi kursus. Mar tak ada orang lain nak minta tolong. Terpaksalah Mar minta bantuan Minah. Takkan salah, kut?”
“Abang taklah kata salah, tapi… dia kan orang luar.”
“Aik? Takkanlah abang masih anggap dia orang luar? Dia bakal madu Mar, tau. Tak baik abang ni…”
Apakah rancangan Mardiana akan berjaya? Dapatkah dia mengubah keputusan Syazwan?
Reviews
Write your review
Wanna review this e-book? Please Sign in to start your review.