"Memperibumikan Ilmu dalam Pembangunan
Ekonomi Negara Melalui Terjemahan
Ada sebuah proses penting semasa mewujudkan bangsa kreatif dalam menjana kejayaan ekonomi yang sering terlepas daripada perhatian kita semua. Proses ini adalah memindahkan ilmu ke dalam sesuatu bahasa peribumi yang dituturkan oleh bangsa berkenaan. Pemindahan ilmu tersebut bermaksud menterjemahkan ilmu tersebut ke dalam bahasa peribumi tertentu. Dalam konteks kita, ini bermaksud menterjemah ilmu ke dalam bahasa Melayu. Apabila ilmu tersebut sudah terungkap dalam bahasa peribumi bangsa itu maka ia menjadi milik bangsa itu. Proses pemindahan ini sering dipanggil memperibumikan ilmu. Ilmu yang sudah diperibumikan itu dengan mudah dapat dicapai oleh seluruh rakyat dalam proses memandaikan bangsa. Rakyat yang berilmu itu akan menjadi kreatif. Proses menjadi kreatif ini melalui dua fasa. Pada mulanya, dengan ilmu yang diperibumikan itu mereka banyak meniru ciptaan sesuatu bangsa yang menjana ilmu asal itu. Selepas itu mereka dapat pula mencipta dan mengembangkan ilmu itu menjadi ilmu sendiri. Dengan ilmu sendiri itu mereka mencipta lagi dan menginovasi. Daripada pengalaman zaman kegemilangan bangsa Arab, mereka meniru dahulu, dan seterusnya barulah ilmu tersebut menjadi asas bagi mereka menjana ilmu sendiri. Rakyat yang berilmu itu akan mencetuskan kreativiti dalam dirinya. Pada mulanya mereka meniru, iaitu mereka menjadi imitator. Kemudian barulah mereka menjadi inovator. Demikianlah bangsa Jepun menjadi imitator dan seterusnya menjadi inovator kelas dunia seperti yang dikatakan oleh Sheridan Tatsuno (1990). Perbincangan ini menelusuri perkembangan itu dalam beberapa buah negara ekonomi besar pada masa ini. Cadangan juga dibuat bagi melahirkan fenomena yang sama di negara ini.
"
Dear publishers and self-publisher, kindly be informed that UBSM & E-Sentral are now using the same publisher panel for your convenience in uploading and updating your eBook content.
If you wish to proceed to log in/ sign up, click Yes. Otherwise, kindly click the X icon to close.