[ No Description ]
INTAN dibesarkan dalam suasana penuh ranjau di sebuah pulau. Kelahirannya diselubungi tanda tanya. Dia dipandang hina oleh orang kampung kerana dianggap seorang anak luar nikah. Namun Intan sentiasa bersabar dan terus berusaha untuk menjadi seorang yang mempunyai pekerti yang baik.
ASSAD pula seorang doktor muda yang berasal daripada keluarga berada di tanah besar. Sungguhpun begitu, dia sering berhadapan dengan tipu daya sehingga dia tidak mudah mempercayai ketulusan hati orang lain dan adakalanya dia memilih untuk bersikap sinis, hingga ada yang terluka dan kecewa.
Takdir telah menemukan dua insan yang datang daripada berlainan arah. Malangnya, pertemuan itu dinodai fitnah orang. Intan dan Assad dipaksa bersatu dalam ikatan perkahwinan yang tidak diingini.
Lantaran itu Assad meragui ketulusan isterinya, dia menganggap Intan hanya layak dilayan seperti orang gaji.
“Disebabkan pernikahan ni tanpa kerelaan aku, aku takkan anggap kau isteri aku. Kau hanya layak jadi orang gaji di rumah aku saja... Paling penting, kau harus ingat, di rumah aku nanti kau mesti panggil aku tuan atau encik. Faham?” – Assad
“Tolonglah, Encik Assad. Cukuplah 2 bulan saya berada di sini, dan saya rasa sudah terbayar segala dendam Encik Assad pada saya. Tapi, percayalah, saya tak pernah merancang untuk perangkap Encik Assad. Jangan sebab itu, saya terus diseksa. Dan kuasa suami ada di tangan Encik Assad yang boleh ceraikan saya bila-bila masa.” – Intan
Sedangkan Intan yang serba naif tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri sebaik mungkin. Begitulah kehidupan mereka suami isteri. Dalam kelam-kabut, musuh Assad pula berusaha memasukkan jarum halusnya.
Dan kehidupan Intan terus dilanda dengan pelbagai rintangan dan bahaya yang mampu menggugat kemampuannya. Dapatkah dia bertahan demi mengecap kebahagiaan yang diimpikan? Atau dia akan rebah jua dan hilang pertimbangan? Berapa lamakah dia sanggup menerima layanan buruk suaminya? Dan selama manakah mampu suaminya membina benteng keegoan diri?