Masyarakat Melayu memahami bahasa bukan sahaja setakat urutan perkataan yang boleh memberi makna. Bahasa pada masyarakat Melayu bermaksud lebih daripada itu, bahasa sebagai paparan tingkah laku dan jiwa penuturnya dan sekali gus mencerminkan akal budi penuturnya.
Tambahan pula, makna bukan sahaja terhad kepada makna tersurat malah makna tersirat juga. Makna tersirat inilah yang menjadi salah satu ciri bahasa Melayu yang istimewa. Ungkapan metafora seperti peribahasa, pantun dan banyak lagi memerlukan ‘mata hati’ untuk mentafsirnya bagi mendapatkan makna sebenar yang hendak disampaikan. Lantas keunikan ini telah menarik perhatian ramai sarjana luar dan tempatan untuk mengkaji akal budi Melayu. Bermula daripada pemerhatian antropologi hingga ke penghuraian teori, pengkaji ingin mendeskripsikan makna di sebalik peristiwa bahasa dan lakuan bahasa. Dampingan terbaik bagi mentafsir makna ini adalah ilmu semantik. Syarahan ini akan mengupas perkembangan semantik yang dibahagikan kepada tiga jenis semantik, iaitu semantik skrip, semantik resonans dan semantic inkuisitif. Semantik skrip yang lebih memfokuskan kepada maklumat sedia ada untuk mentafsir makna dan memahami akal budi Melayu. Pengkaji tahap ini telah menjadikan pengalaman di lapangan sebagai asas mentafsir masyarakat Melayu. Manakala data intuisi pula digunakan untuk menjelaskan makna dan fungsi tatabahasa bahasa Melayu. Jelasnya, penghuraian makna di peringkat ini menampakkan kelompongan dan bersifat permukaan lalu terhasillah semantik resonans. Semantik resonans lebih menumpukan kepada aspek teori dan cuba menjelas serta mengaitkan tafsiran makna dengan kognitif penutur Melayu. Jangkauan semantik resonans lebih kepada data korpus tatabahasa dan ungkapan metafora. Objektif resonans lebih kepada mencari jawapan kenapa ragam atau pola itu diguna pakai meskipun wujud pertentangan dengan tatabahasa pegangan. Terbukti bahawa pencungkilan makna begini telah berjaya mengaitkan bahasa, teori dan kognisi penuturnya. Walau bagaimanapun, semantik resonans juga gagal mencapai tafsiran makna tahap tertinggi sehingga membawa kepada tafsiran akal budi Melayu. Meskipun telah ada data yang banyak, pendekatan teori yang mantap tetapi penelusuran kepada akal budi Melayu tidak tercermin pada semantik tahap ini. Maka, satu lagi pendekatan diteroka bagi mengaitkan antara bahasa, budaya, kognitif dan akal budi Melayu, iaitu semantic inkuisitif. Semantik tahap ini menumpukan kepada kepada persoalan mengapa sesuatu pola bahasa diguna pakai sehingga boleh menjawab kepada falsafah penggunaannya. Semantik inkuisitif dilengkapkan dengan pendekatan ‘bangau oh bangau’ mampu memberikan jawapan yang dicari. Terbukti pendekatan berteraskan semantik inkuistif telah berjaya menyerlahkan keunikan Melayu iaitu ciri khusus tak khusus pemikiran Melayu dalam menggunakan bahasanya. Kekhususan makna bukan sahaja tergambar pada tatabahasa malah kepada pemilihan objek dalam ungkapan metafora. Jelaslah bahawa semantik yang diolah dengan tatakaedah yang tepat mampu menghuraikan makna yang tersirat yang menjadi sebahagian daripada akal budi Melayu.
Dear publishers and self-publisher, kindly be informed that UBSM & E-Sentral are now using the same publisher panel for your convenience in uploading and updating your eBook content.
If you wish to proceed to log in/ sign up, click Yes. Otherwise, kindly click the X icon to close.